Sejarah Penubuhan Pondok Muhammadiah

Pondok Muhammadiah atau lebih dikenali dengan Pondok Beta Hilir diasaskan oleh seorang Alim tempatan iaitu Al Marhum Tuan Guru Hj. Mohamed Bin Mat Diah atau lebih mesra dengan paggilan Tok Guru Pak Su Mat Beta. Penubuhan pertama pada tahun 1966 setelah kembalinya Tuan Guru ke kampung tumpah darahnya iaitu Kampung Beta Hilir kerana mendirikan rumah tangga dengan Hjh. Wan Mek @ Wan Limah Bt. Hj. Bakar yang berasal dari Kampung Salor Kota Bharu Kelantan.

Dinamakan Pondok Muhammadiah sebagaimana berikut. Pondok bermaksud rumah kecil sebagai tempat tinggal semasa belajar, Muhammadiah ialah sempena gabungan nama pengasas dan ayahnya. Pondok Muhammadiah terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Kota Bharu yang dikelilingi sawah padi. Sebilangan besar masyarakat di sini adalah petani dan pekebun.

Pondok terakhir Al Marhum Tuan Guru belajar ialah di Pondok Terusan Pasir Tumbuh. Al Marhum Tuan Guru telah menonjolkan kepintaran dan kebolehan dalam penyampaian ilmu kepada kawan-kawannya sehingga terhidu dan menarik perhatian oleh Tok Guru Haji Hashim, Tok Guru Haji Mustapha dan Tok Guru Haji Abdul Aziz, lalu dijadikan sebagai pembantu Tok Guru dalam menyampaikan kuliah dan ceramah khususnya kepada pelajar baru. Al Marhum Tuan Guru juga pernah ditawarkan oleh Tok Guru Haji Abdul Aziz supaya berkahwin dengan salah seorang puterinya agar Al Marhum Tuan Guru dapat menetap dan menjadi tenaga pengajar di Pondok Terusan Pasir Tumbuh. Oleh kerana masyarakat di kampung Beta Hilir amat memerlukan ilmu daripada Al Marhum Tuan Guru, maka terpaksalah Tuan Guru menolak tawaran tersebut.

Al Marhum Tuan Guru juga berjaya dan mampu memberi kefahaman yang baik dalam penyampaian kuliahnya sehingga pelajar yang pernah belajar dengan Al Marhum Tuan Guru di Pondok Terusan Pasir Tumbuh sanggup pergi ke rumah Al Marhum Tuan Guru di kampung Beta Hilir untuk belajar walaupun Al Marhum Tuan Guru telah menamatkan pengajian di sana. Oleh kerana kesanggupan beberapa orang kawan Al Marhum Tuan Guru berulang-alik demi semata-mata untuk belajar, maka dengan keizinan Tok Guru Haji Hashim, Tok Guru Haji Mustapha dan Tok Guru Haji Abdul Aziz lalu terbinalah beberapa buah pondok pada tahun 1966. Namun ianya tidak kekal lama kerana muridnya ingin menamatkan pengajian dan mahu pulang ke kampung masing-masing.

Penubuhan kali kedua atas dasar cintakan ilmu dan rasa beramanah dengan agama fitrah ini, maka Al Marhum Tuan Guru mewujudkan Sekolah Agama Rakyat pada tahun 1972 di atas tapak pondok yang sedia ada dengan mengajar ilmu asas fardhu ain dan fardhu kifayah. Sekolah Agama Rakyat ini wujud dalam dua sesi iaitu pagi dan petang. Kali ini sambutan dari masyarakat setempat amat memberansangkan sehingga bilangan muridnya mencecah 150 orang. Dalam tempoh beberapa tahun kemudian, nasib Sekolah Agama Rakyat tidak kekal lama dan terpaksa ditutup atas masalah yang tidak dapat dielakkan kerana kekurangan tenaga pengajar dan Al Marhum Tuan Guru bersama isteri pergi menunaikan ibadat fardhu haji ke Mekah dengan menaiki kapal laut dan ini kerana perjalanan pergi, berada di sana dan balik mengambil tempoh masa beberapa bulan.

Sekembalinya dari Mekah sekali lagi iaitu kali ke tiga, Al Marhum Tuan Guru berasaskan ilmu, tenaga dan tanggungjawab serta kepercayaan dari Tok Guru Haji Hashim, Tok Guru Haji Mustapha dan Tok Guru Haji Abdul Aziz supaya meneruskan sistem pengajian pondok (mengunakan kitab-kitab turath) maka secara rasminya Pondok Muhammadiah dijalankan sepenuhnya pada tahun 1980. Keyakinan dan kepercayaan masyarakat begitu teruja
kerana diantara murid Al Marhum Tuan Guru adalah anak-anak Tok Guru Pondok. Rentetan Tok Guru Haji Hashim dan Tok Guru Haji Mustapha menghantar anak-anaknya belajar dengan Al Marhum Tuan Guru, maka ia menjadi sebagai permulaan kepada perkembangan dan kepercayaan masyarakat dalam dan luar negeri datang belajar di Pondok Muhammadiah.

Alhamdulillah, sejak itu sistem pengajian di Pondok Muhammadiah dapat dijalankan hingga ke hari ini walaupun Al Marhum Tuan Guru dipanggil Ilahi pada 14 April 2000 kerana Mudir, Timbalan Mudir dan lima tenaga pengajar sekarang ini adalah anaknya sendiri yang terdidik khusus bagi meneruskan perjuangan suci ini. Semoga diredhai Rabbul I’zzati.

Galeri Gambar Lama

Gambar-gambar ini diambil dalam simpanan Maktabah As-Syafie Pondok Muhammadiah.
Sumbangan secara chek, bank transfer atau lain-lain pembayaran boleh dibuat kepada no akaun berikut:
PONDOK MUHAMMADIAH
(MAYBANK)
553010639006

Hubungi

Pondok Muhammadiah, Kg. Beta Hilir,
15100 Kota Bharu Kelantan

+60134427096
+60179886585
© 2024 Pondok Muhammadiah